Monday, February 13, 2012

Ringkasan Kisah Muhammad SAW Sejak Kelahiran Hingga Dilantik Nabi

Alhamdulillah, solawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam yang dengan nikmat utusan ALLAH melalui Baginda, dapat kita nikmati nikmat Iman dan Islam pada hari ini. 
InsyaALLAH, di sini diringkaskan beberapa maklumat berkenaan kelahiran dan kehidupan insan mulia yang kita semua sama-sama sayangi dan kasihi sepenuh hati kita.  Maklumat ini dipetik dari kitab al-Rahiq al-Makhtum, tulisan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri.
Mudah-mudah2an bermanfaat buat kita semua, insyaALLAH.

Abdullah dan Aminah
  • ‘Abd al-Muttalib telah memilih Aminah binti Wahb bin ‘Abd manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri anaknya, ‘Abdullah.
  • Aminah dianggap wanita yang paling mulia ketika itu dari sudut keturunan dan kedudukan.  Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah.
  • ‘Abd al-Muttalib telah mengutus ‘Abdullah ke Yathrib untuk mengambil bekalan dagangan untuk didagangkan di Syam.
  • ‘Abdullah telah meninggal dunia di Yathrib dan dikebumikan di Dar al-Nabighah al-Ja’di.  Ketika itu, ‘Abdullah berusia 25 tahun.
Kelahiran Bayi Mulia, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam
  • Dilahirkan di penempatan Bani Hashim di Mekah sebagai anak yatim.
  • Dilahirkan pada hari Isnin, 9 Rabi’ul Awwal tahun pertama peristiwa gajah, bersamaan 20 atau 22 April 571 Masehi.
  • Peristiwa luar biasa (irhas) yang berlaku ketika dilahirkan:
    • 14 lengkungan gerbang Istana Kisra gugur
    • Api sembahan orang Majusi terpadam
    • Gereja-gereja di sekitar Bahirah Sawah telah runtuh
  • Apabila Abd al-Muttalib mendapat tahu berita kelahiran cucunya itu, dia terus ke Ka’bah lalu berdo’a dan bersyukur.  Lantas diberi nama MUHAMMAD, nama yang cukup asing bagi masyarakat Arab ketika itu.
  • Orang yang pertama menyusukan Nabi, selepas ibunya ialah Thuwaybah, iaitu seorang hamba kepada Abu Lahab.
Hidup Dalam Keluarga Bani Sa’ad (sehingga umur 4-5 tahun)
  • Menurut adat masyarakat Arab setempat, bayi yang baru lahir akan disusukan oleh perempuan yang berada di luar dari masyarakat setempat, supaya bebas dari dijangkiti penyakit masyarakat setempat, menguatkan fizikal kanak-kanak, mengukuhkan urat saraf serta memahirkan anak terebut dengan bahasa Arab jati sejak kecil lagi.
  • ‘Abd al-Muttalib telah menyerahkan bayi bernama Muhammad untuk dipelihara oleh Bani Sa’ad dan disusukan oleh Halimah al-Sa’diyyah.
  • Selepas 4 atau 5 tahun kelahiran, telah berlaku peristiwa pembelahan dada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam oleh Jibril.
Ke Pangkuan Ibu Yang Pengasih (sehingga umur 6 tahun)
  • Selepas peristiwa pembelahan dada itu, Halimah risau akan keselamatan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, lalu memulangkan Baginda kepada ibunya, Aminah.
  • Aminah dan anak yatimnya itu telah membuat keputusan untuk menziarahi kubur suaminya di Yathrib, dengan ditemani oleh Abd al-Muttalib dan Ummu Ayman (pembantu wanita).
  • Mereka menetap di Yathrib (Madinah) selama sebulan.
  • Dalam perjalanan pulan ke Makkah, Aminah jatuh sakit lalu meninggal dunia di Abwa’, iaitu kawasan di antara Makkah dan Yathrib (Madinah).
  • Anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam itu terpaksa menjadi anak yatim piatu pada umur 6 tahun.
Ke Pangkuan Datuk Yang Penyayang (sehingga 8 tahun)
  • Abd al-Muttalib sayu dan sedih dengan kejadian yang berlaku.  Peristiwa lama iaitu kematian anaknya Abdullah kembali datang menerjah ke dalam memorinya.
  • Beliau membawa pulang anak kecil itu ke Makkah dan menjaganya dengan penuh kasih sayang.
  • Apabila umur Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam mencecah 8 tahun, 2 bulan dan 10 hari, datuknya Abd al-Muttalib pula meninggal dunia di Makkah.
  • Abd al-Muttalib sempat berwasiat agar Muhammad sallAllahu ‘alaihi wassalam dijaga oleh Abu Talib, bapa saudaranya iaitu saudara kandung bapanya.
Ke Pangkuan Bapa Saudara (sehingga 40 tahun)
  • Abu Talib telah menjalankan amanah menjaga Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dengan sesempurna mungkin.
  • Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah mendapat perlindungan dan penjagaan dari Abu Talib sehingga akhir hayat Abu Talib.
  • Antara peristiwa penting yang berlaku sepanjang bersama Abu Talib ialah hujan turun dengan berkat peribadi anak kecil bernama Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Yang mana ketika itu Makkah dilanda kemarau.
  • Pada umur Baginda 12 tahun, Abu Talib yang ketika itu membawa Baginda berdagang ke Syam telah ditegur oleh seorang Rahib bernama Jarjis, atau lebih dikenali sebagai Bahira.  Seetlah melihat ciri-ciri yang ada pada Baginda, Bahira telah memberitahu kepada Abu Talib, “Inilah ketua seluruh alam, budak ini diutuskan oleh ALLAH sebagai rahmat untuk sekalian alam.”  Bahira menasihatkan agar budak tersebut tidak dibawa ke Syam, kerana ditakuti akan dilakukan sesuatu yang buruk kepadanya.  Lalu Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam dibawa pulang ke Makkah semula.
  • Pada umur 15 tahun, Baginda telah ikut membantu dalam peperangan yang dipanggil Peperangan Fijar.  Peperangan tersebut adalah di antara orang Quraisy dan sekutu2 mereka dari Bani Kinanah dengan Qays bin ‘Aylan.
  • Pada zaman remaja, Baginda tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.  Banyak riwayat mengatakan Baginda mengembala kambing.  Pada usia 25 tahun, Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dikenali sebagai seorang yang amanah.  Atas sifat amanahnya itu, Khadijah binti Khuwaylid iaitu pedagang dan hartawan telah memilih Baginda untuk membawa dagangannya ke Syam.  Baginda dibantu oleh hamba Khadijah yang bernama Maysarah untuk berniaga di Syam.
  • Kembali dari urusan perdagangan, Khadijah tertarik dengan kebolehan Baginda yang telah meraih keuntungan yang banyak dari perniagaan tersebut.  Malah yang lebih penting ialah perwatakan Baginda yang berakhlaq mulia, berfikiran tajam, tutur kata yang benar dan bersifat amanah.  Maklumat ini diperolehi dari Maysarah.  Khadijah yang sebelum ini selalu gagal dilamar oleh para pembesar Quraisy, telah tertarik dengan Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.  Khadijah ketika itu berumur 40 telah menyatakan hasrat untuk mengahwini Baginda, dan Baginda setuju.  Lamaran telah dibuat oleh bapa-bapa saudara Baginda.
  • Pada usia 35 tahun, Baginda membawa peranan yang besar dalam pembinaan semula Ka’bah dan Isu Tahkim.
  • Pada usia 40 tahun, Baginda telah menerima wahyu dari ALLAH.  Pada saat inilah, kehidupan Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam mula menerima pelbagai tentangan dan halangan yang besar.  Dan Abu Talib telah banyak bertindak melindungi Baginda sehinggalah Abu Talib meninggal dunia…
WAllahu Ta’ala A’lam.
Disarankan tuan/puan untuk mendapatkan kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri untuk bacaan lanjut dan lebih terperinci. 

Berikut adalah sedikit ringkasan kisah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wasallam ketika Baginda di Makkah:
  1. Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 1:  {LINK}
  2. Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 2:  {LINK}
  3. Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 3:  {LINK}
  4. Rasulullah SAW Ketika Di Makkah – Bahagian 4:  {LINK}
Mudah2an rasa cinta kita kepada Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, insan yang telah banyak berjasa kepada kita akan semakin subur dan diikuti dengan semangat untuk menyambung perjuangan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mengamalkan segala sunnah2nya.

*Disunting dari:  http://muzir.wordpress.com/2010/02/18/ringkasan-kisah-muhammad-sebelum-jadi-nabi/

Sunday, February 12, 2012

Menteri Besar Perak PDF Cetak Emel

   IR. HAJI MOHAMMAD NIZAR BIN JAMALUDDIN 
Mengenali Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak.

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar. Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom. Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu       (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini. Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta.

Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar    (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini). Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya. "Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyelesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul. "Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan suara-surau.malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah kurban termasuk penyembelihan bintang kurban.

Di samping itu Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh berbahasa Cina dan Tamil. Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh membaca khutbah jumaat. Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak.

15 kesilapan ibubapa dalam mendidik anak-anak

"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi ALLAH ada pahala yang besar." (Al-Quran Surah At-Taghabun, 64:15)

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Sebagai ujian, ianya akan dipertanggungjawabkan. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat. Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda : "Tahukah engkau siapakah orang yang mandul." Berkata para sahabat : "Orang yang mandul ialah orang yang tidak mempunyai anak." Lalu Rasulullah SAW berkata : "Orang yang mandul itu ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya itu tidak memberi kemanfaatan kepadanya sesudah ia meninggal dunia." - (Maksud Al-Hadith )


1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa
1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)


1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.


2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib
(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak
, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani


6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak
sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. : Pada suatu hari Rasulullah SAW mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a. Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka." Rasulullah melihat kepada Aqra' kemudian berkata : "Siapa yang tidak mengasihi tidak akan dikasihi."-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas.
Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas.
Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah
seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat
oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang
seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak.
Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah
kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video.
Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak.
Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. Ustaz Khalid Haji Mohd Isa

Friday, January 27, 2012

Roadshow Hassan Ali Akan Dedah Pekungnya Sendiri

 
Banyak bercakap risiko dedah kelemahan

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) Selangor tidak akan tergugat siri jelajah anjuran bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dikatakan akan mendedahkan segala kelemahan dan kepincangan pentadbiran Kerajaan Negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, Hasan boleh mendedahkan apa sahaja isu dalam siri jelajahnya, tetapi Pas Selangor juga sudah bersedia memberikan serangan balas setiap apa yang akan didedahkan beliau.

“Pas Selangor tidak bimbang kerana setiap kali beliau buat roadshow, rakyat akan lagi kenal siapa beliau. Makin banyak bercakap, makin banyak perkara negatif akan keluar.

“Jadi, rakyat boleh menilai sendiri siapa beliau. Malah bila bertemu rakyat di warung-warung, rakyat memberikan imej negatif tentang beliau termasuk ahli Umno sendiri. Banyak yang pertikai apa dikata beliau selama ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, tindakan Hasan itu juga seolah-olah akan mendedahkan kelemahan diri sendiri.

Teresa berkata, dalam Kerajaan Negeri, Hasan adalah seorang pemimpin ‘senior’ berbanding Exco Kerajaan Negeri lain di mana panda­ngan Hasan selalunya akan didengar, dihormati dan diikuti.

“Beliau seorang anggota yang penting dalam kerajaan ketika itu, jadi apa yang mahu beliau dedahkan? Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang mahu dikritik oleh beliau tentang Kerajaan Negeri.

“Jadi, apa-apa kritikan yang dilemparkan oleh beliau, mungkin akan terkena kepada beliau sendiri kerana beliau juga yang membuat keputusan bersama,” katanya. -SH

Azmin: Pakatan sedia gempur serangan Hasan Ali

PETALING JAYA - Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersiap sedia menghadapi serangan balas bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam mempertahankan kedudukan yang lebih selesa di Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan segala bukti dan fakta yang dikumpulkan mampu menangkis serangan yang dilakukan Hasan dalam siri jelajahnya.

Katanya, persiapan itu bagi memastikan PR tidak terlibat dengan tuduhan yang tidak berasas mahupun fitnah.

“Kami bersedia untuk menjawab malah telah me­ngumpulkan fakta-fakta kerana tidak mahu terlibat dengan tuduhan tidak berasas dan fitnah. Kami telah melihat di mana kekuatannya, kami telah melihat siapa penganjur dan kami sudah tahu siapa di belakang Hasan.

“Kita serah kepada rakyat dan yakin rakyat cukup matang untuk menilai kenyataan itu sama ada berasas atau tidak atau sekadar emosi kerana dipecat oleh parti,” katanya kepada Sinar Harian dalam wawancara eksklusif di pejabatnya, semalam.

Menurut Azmin, kenyataan yang dilontarkan Hasan yang lantang mengkritik parti sebelum ini amat mengecewakan, kerana kenyataan itu tidak berlandaskan semangat PR.

“Hasan perlu berterus terang kepada rakyat apakah tindakannya itu atas kehendak atau keinsafan dirinya sendiri atau beliau sanggup diperlembukan oleh anasir luar.

“Beliau yang perlu berterus terang. Saya tidak mahu membuat spekulasi,” katanya mengulas apakah tindakan Hasan yang lantang mengkritik parti dipengaruhi oleh anasir luar mahupun sikapnya sendiri.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, tindak tanduk dan kenyataan Hasan jelas telah melanggar dasar bersama Pakatan.

Justeru itu, beliau telah melontarkan cadangan kepada Pas.

“Saya minta Pas ambil tindakan yang sewajarnya. Apa bentuk tindakan, saya serahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pas. Saya yakin apa yang dilakukan kepimpinan Pas telah mengambil kira maklum balas anggota parti dan Kerajaan Negeri.

“Saya tidak menentukan jenis hukuman yang sepatut­nya, kerana sebagai Exco Selangor, beliau sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan dasar negeri yang telah dimuafakati secara bersama oleh PR.

“Jangan dicari salah orang lain, sama ada saya atau Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiada kaitan, ini keputusan yang dibuat oleh Pas,” katanya.

Mengulas berhubung parasit parti yang didakwa Hasan berlaku dalam kepimpinan Pas, Azmin berkata, beliau (Hasan) adalah parasit dan musuh dalam selimut.

Beliau turut bersetuju de­ngan artikel tokoh aktivitis Pas, Subky Latif yang menggambarkan Hasan sebagai buah buruk yang menunggu gugur, dijolok jatuh, tidak dijolok pun tetap akan jatuh.

“Bagi saya keputusan kepimpinan Pas memecat Hasan adalah atas pertimbangan. Hasan adalah parasit dalaman parti dan musuh dalam selimut.

“Saya cukup menghormati pucuk kepimpinan Pas, berani bertegas dan berani memberi isyarat keras supaya jangan menjadi musuh dalam selimut dalam Pakatan kerana muafakat yang cukup jelas atas dasar bersama,” katanya

Isu MB Kedah & AUKU: GB Sokong Tulisan Sayuti

 

 

Serang Azizan Razak tidak bijak

Saya tidak mengikuti isu membabitkan MB Kedah Azizan Razak yang dikatakan menyokong Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang sudah kesekian lama diperjuang untuk dihapuskan. Saya tidak tahu apakah 'konsekuens' isu itu di sebaliknya. Sebesar manakah atau sejauh manakah Azizan telah menyokong akta yang kini dibenci kerana dikatakan telah menyekang mahasiswa itu.

Khabarnya sampai ada protes besar-besaran dalam media massa, menerusi blog, muka buku dan sebagainya.

Ada sebab kenapa saya tidak mengikuti atau mempedulikan isu berkenaan. Kerana isu itu berlegar dalam lingkungan sesama sendiri, maka tidak wajar saya kira ia diperbesarkan. Isu itu seharusnya diselesaikan secara baik dengan diam tanpa gemercingan ke luar.

Dalam saat pilihan raya menjelma sepatutnya semua pihak mengelakkan dari bertembung sesama sendiri dan bersikap mendiamkan apa-apa yang masing-masing tidak berkenaan di antara satu sama lain. Jangan membuka banyak lubang intip untuk mengintip musuh nanti musuh akan mencuri peluang menerobos melalui lubang itu. Pembangkitan isu berkenaan boleh diibaratkan sebagai membuka lubang untuk musuh.

Mulut sesama sendiri perlu diam saat hendak melakukan serangan ke atas musuh. Kalau saat hendak ambush musuh tetapi sesama sendiri masih bercakap dan bercakaran bukan saja musuh terlepas tetapi diri sendiri akan menjadi mangsa kelak.

Apakah motif atau isu sebenarnya di sebalik serangan ke ataz Azizan Razak saya tidak tahu. Hanya hari ini apabila saya membaca laporan di sebuah portal melaporkan Abdul Aziz Bari juga mengecam Azizan Razak sampai minta Azizan Razak menyertai BN kalau hendak sokong AUKU baru saya tahu mengenai isu berkenaan. Kenyataan atau protes Aziz Bari itu saya kira agak keras dan menjadikan saya bingkas untuk mengulas.

Serangan kepada MB Kedah itu puncanya kerana Azizan menyokong tindakan Kolej Insiniah Kedah (KUIN) menggantung lima orang pelajarnya yang terlibat dalam tunjuk perasaan. Itu sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Jadi mereka yang mahukan AUKU dihapuskan marah kepada sokongan Azizan itu, menterjemahkan Azizan tidak bersama mereka.

Sokongan itu diheret kepada soal ikrar dalam Buku Jingga. Kononnya dengan pendirian Azizan itu beliau telah bersikap menyanggah kandungan Buku Jingga. Tidak dinafikan dalam Buku Jingga ada dinyatakan untuk menghapuskan AUKU. Pernyataan dan janji di dalam Buku Jingga itu sudah menjadi manifesto Pakatan Rakyat dan sudah diterima sebahagian besar rakyat.

Memanglah dari segi prinsipnya tindakan Azizan itu bertentangan dengan aspirasi Buku Jingga. Tetapi adalah melampau kalau beliau diserang dengan berbagai cemuhan, apa lagi serangan itu sama jenis serangan ke atas Najib Razak, Sharizat Abdul Jalil atau Rosmah Mansor. Bagi saya kenyataan Abdul Aziz Bari seperti dipetik itu saya lihat tidak cermat dan agar boros. Kalaupun beliau anti kepada AUKU tetapi Aziz tidak sepatutnya begitu lancang menyerang Azizan.

Beliau kena ingat dan faham sebusuk dan seburuk mana Azizan dia masih bersama Pakatan Rakyat dan MB kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah. Saya kira mereka yang menyerang Azizan Razak sudah melupai adat dan terbawa-bawa dengan emosi kerana terlampau geramkan UBN. Tidak boleh juga bila kita tidak senang dengan stail dan sikap seseorang kita terus menyerang mereka bila timbul saja isu yang dibangkitkan sedangkan ia boleh dibahas atau diselesaikan secara baik.

Kalau semua faham tindakan (kenyataan sokongan) Azizan itu sebenarnya ia tidak ke mana dan mudah gelabah. Ia tidak sedikitpun pun menghalangkan cita-cita untuk menghapuskan AUKU. KUIN adalah sebahagian daripada ratusan Pusat Pengajian Tinggi (IPT) yang masih mengguna pakai akta berkenaan atau tertakluk dengan akta najis itu. Bukan KUIN sahaja yang mempraktikannya, tetapi pusat-pusat pengajian lain juga berbuat demikian.

Saya percaya Azizan juga tidak bersetuju dengan akta yang menyekat kebebasan mahasiswa bersuara itu. Apa lagi Azizan adalah pemimpin Pakatan Rakyat (oposisi) yang sangat memerlukan kepada kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa untuk mendokong Pakatan Rakyat. Kenapa beliau menyokong tindakan itu, perlu di lihat dari sudut lain yang lebih profesional dan akademik serta politik, bukan secara harfiah. Inilah kita kadang kala kerana terlalu emosi sangat tidak dapat menyelami erti di sebalik makna. Tidak dapat menyelami erti lain daripada apa yang kita difahamkan. Ada kalanya kita terbawa-bawa dengan rasa dendam kepada seseorang itu ke mana saja.

Apa yang perlu difahamkan, KUIN tidak boleh bertindak di luar mana-mana akta yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Ia terikat dengan syarat-syarat dan undang-undang tubuhnya. Walaupun KUIN itu dibawah kerajaan negeri yang prinsip politiknya tidak suka kepada akta itu, ia tidak boleh tidak dari memperakui akta berkenaan dan tidak boleh mengabaikannya. Mana-mana ada mahasiswa yang bersalah dan perlu dihukum maka akta itu masih relevan dan digunakan.

Kalau KUIN tidak menggunapakai akta itu pasti ia bertentangan dengan akta penubuhannya yang mana kelulusan dari Kementerian Pengajian Tinggi yang menghendaki menggunapakai akta berkenaan. Semua kena akui bahawa AUKU walaupun dalam proses penghapusan masa kini, tetapi ia masih belum dihapuskan, jadi ia masih valid untuk KUIN juga.

Contohnya begini, kita tidak suka dengan tol yang dikenakan oleh pihak menguruskan lebuh raya sekarang ini kerana ia membebankan. Malahan kita berjanji untuk menghapuskannya kalau kita memerintah. Tetapi selagi kita belum memerintah, lebuh raya itu tetap terikat dengan perjanjian kerajaan, kita wajib membayarnya. Tidak membayar bermakna kita melakukan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.

Jadi bila Azizan Razak menyokong tindakan KUIN itu tidak bermakna beliau bersetuju dengan akta itu. Begitu juga bila kita membayar tol bukan bermakna kita bersetuju dan redha dengan pengenaan tol itu. Beliau menyokong sebagai menghormati keputusan institusi berkenaan yang bertindak menggunakan undang-undang yang masih berlaku (valid). Manakala kita membayar tol dalam paksa itu juga kerana menghormati syarat-syarat yang dikenakan kepada kita. Kedudukannya sama bukan?

Kaedah atau hal-hal seperti ini perlu difahami secara mendalam. Baik mahasiswa, pemimpin pelajar dan ahli politik perlu fahami mengenai perkara ini dan kedudukan sebenarnya. Apa guna kita menyerang sesama sendiri, kalau tindakan itu akan dilihat sebagai kita berpecah belah sesama kita, tiada ada guna langsung.

Kepada saya, (maaflah) mereka yang mempertikaikan tindakan Azizan, membesar-besarkannya apa lagi menyerang termasuk sampai mengungkit perangai dan peribadinya tidak bijak dan bukan orang yang memakai minda politik sepanjang masa. Mereka tidak ada sikap tasamuh di dalam politik. Mereka hanya berfikir dengan apa yang ada di hadapan mereka saja dan tidak melihat kebenaran-kebenaran lain yang berlegar di sekeliling mereka. Maaflah...

Nasib baik dalam kes ini para pemimpin tertinggi nampaknya faham dan tidak terikut dengan nafsu amarah yang mentah itu.

Perhatikan apakah kenyataan sokongan Azizan kepada tindakan KUIN itu adakah dibangkit oleh pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat? Bukan saja dari Pas, tetapi PKR dan DAP juga. Rasanya tidak ada. Ini menunjukkan para pemimpin lebih bersikap profesional dan tahu waktu mana hendak bergaduh dan waktu mana untuk tutup mulut. Bermain politik ibarat kita berlakibini kita kena tahu waktu mana hendak bergaduh masa mana hendak bertengkar fasal nasi hangit. Kalau waktu senja kita bergaduh ertinya sepanjang malam kita akan kerugian...

Justeru mahasiswa, bloger yang anti AUKU dan sebagainya silalah tututp mulut anda. Hasrat dan matlamat untuk hapuskan AUKU itu tidak akan terhenti dengan hanya Azizan Razak membuat kenyataan menyokong tindakan KUIN itu. Malahan cara anda menyerang Azizan itu ia sedikit sebanyak boleh menghilangkan tumpuan untuk menghapuskan AUKU yang telah dimeteraikan dalam Buku Jingga itu.

Kalau anda bijaksana anda tidak ungkitkan secara terbuka kenyataan Azizan Razak itu dan menerima tindakan KUIN itu. Anda patut berjumpa dan berbincang dengan Azizan. Dalam pertemuan itu anda secara senyap mengemukakan memorandum agar Azizan campur tangan melepaskan pelajar berkenaan. Cara ini paling fatanah dan menggambarkan anda - orang-orang yang mengkritik secara terbuka adalah orang yang bijaksana dan berfikiran tenang. Saya rasa Azizan juga akan bersetuju dengan permintaan anda secara diplomasi itu.

Bijaksanalah di dalam melayani isu-isu politik dan pilihlah subjek-subjek untuk diperkatakan, jangan pakai 'rawal' semua sekali. Politik perlu bijaksana yang bijaksana. Dan Abdul Aziz Bari yang baru melangkah kaki secara rasmi dalam lautan politik itu juga saya rasa sudah mula menunjukkan sikap tidak bijaksananya. Aziz sepatutnya tidak serang Azizan seperti itu yang mana boleh melukai hati penyokong MB Kedah itu, tetapi yang afdal memberi penjelasan kenapa Azizan membuat kenyataan sokongan itu. Mendamaikan dan bukan menghuruharakan lagi minda itulah politik harmonis. -mso

Ulasan GB

Sebenarnya, pihak yang menyerang atau memburuk-burukkan MB Kedah tidak mengikuti hal sebenar apa yang berlaku.

MB Kedah sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa "KUIN adalah di bawah tanggungjawab penuh kerajaan negeri Kedah, keputusan penggantungan dibuat pentadbiran KUIN...dan saya tidak campur tangan sangat dalam hal ini."

Yang mengambil tindakan ialah KUIN, tetapi yang diserang kini ialah MB Kedah semata-mata kerana Datuk Seri Azizan adalah pengerusi lembaga pengarah Kuin yang di bawah kerajaan negeri pimpinan PAS.

Malah serangan ke atas Azizan dilihat berlebih-lebihan pula.

Memang kita tak suka AUKU. Tapi apakah kerajaan Kedah pimpinan Azizan yang perlu dipersalahkan apabila KUIN mengambil tindakan ke atas pelajarnya yang membantah pembukaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz?

Isunya lebih kurang sama dengan bantahan pihak tertentu terhadap Surau Salihiah Kanchot di Alor Setar untuk diganti dengan surau baru ditapak baru.

Ia tidak sama samasekali dengan perobohan surau dan masjid yangdilakukan oleh UMNO seperti di Bujal dan di Berembang dimana kedua-duanya dirobohkan di atas perasaan dengki hati dan bukan untuk membina yang baru.

Sama dengan isu Surau Salihiyah, KUIN menggunakan bangunan Tahfiz untuk Sekolah Insan Bestari. Dimana salahnya?

GB tidak menentang gerakan mahasiswa malah menyokongnya. Di dalam tahun-tahun 80an dahulu sewaktu GB pernah memimpin sebuah gerakan pelajar, GB pernah terlibat dengan satu bantahan menentang kenaikan yuran pelajar, tetapi di dalam pada itu GB terpaksa akur bahawa kami ketika itu boleh dikenakan tindakan di bawah AUKU.

Justeru, sewaktu keputusan J/K perwakilan pelajar memutuskan untuk berdemo, GB terpaksa tolak kerana GB katakan kepada mereka bahawa: AUKU ada dan kita perlu berhati-hati dengannya. Tidak boleh emosi berlebihan. Kami bukan dari kalangan pengecut, tetapi kami mengambil sikap "fatanah" (bijaksana) yang diajar nabi dengan menjadikan gerakan pelajar yang dipimpin sebagai gerakan yang matang dan mampu berdiplomasi di saat sekalian para pelajar sedang berang berapi.

Dengan hujah-hujjah yang GB utarakan ketika itu, risiko AUKU mengaum adalah tinggi dan kita tidak mampu berbuat apa-apa sekalipun (jika ada) menteri yang menyokong tuntutan kita masa itu.

(Tak lupa pada masa itu SB-SB sudah mula mengekori kami...)

Maka diputuskan oleh "Majlis Syura" bahawa kami perlu menemui pihak tertinggi IPT berkenaan dan mahasiswa diminta untuk "berdemo dengan solat hajat" agar Allah mempermudahkan segala urusan kita. Dan alhamdulillah, hujjah-hujjah kami diterima oleh pihak IPT dan kenaikan yuran dimansuhkan waktu itu.

Oleh itu, di dalam kes ini, AUKU yang sepatutnya ditentang bukan MB Kedah yang sepatutnya dijadikan sasaran.

Kesian Hassan Ali, Bermimpi Di Siang Hari

 


Kuasa Ketiga : Hasan Ali mimpi di siang hari

SHAH ALAM: Kenyataan bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali bahawa kewujudan kuasa ketiga yang sedang dibina untuk menarik sokongan masyarakat dalam pilihan raya umum akan datang disifatkan sebagai ‘mimpi disiang hari’.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman menyifatkan sedemikian sambil berkata Hasan Ali terperangkap dengan soalan yang diajukan kepada beliau ketika program Bual Bicara Soal Jawab di TV3, Rabu lalu.

Dr Rani yang turut mengikuti siaran program itu mempersoalkan golongan mana dimaksudkan Hasan Ali untuk menyertai gelombang kuasa ketiga tersebut.

“Saya tanya siapa wakil yang dimaksudkan itu? Adakah ia ulama sedangkan beliau (Hasan Ali) sebelum ini kata ulama adalah profesional.

“Beliau terperangkap dengan soalan ni. Lagipun banyak soalan yang tidak dijawab. Bagaimana beliau nak bentuk kuasa ketiga jika tiada komponen?

“Andaian beliau ini umpama mimpi di siang hari. Jika benar nak wujudkan kuasa ketiga maka perlu bertindak untuk tegur mana-mana parti.

“Tegurlah PAS, Umno, kenapa tidak kes NFC juga? Tapi kuasa ketiga ini akan condong dan akhirnya membawa kepada gerakan Umno,” katanya ketika diaju soalan berhubung kuasa ketiga oleh bekas exco agama kerajaan negeri itu.

Hasan yang juga ahli dewan negeri Gombak Setia, melalui program itu berkata usaha melalui gerakan kuasa ketiga itu sudah dimulakan oleh teman-teman yang tidak dinyatakan secara umum.

Beliau juga berkata kuasa ketiga itu nanti akan bergabung dengan wakil rakyat bebas yang lain sambil menawarkan manifesto bersama walaupun tidak wujud sebarang parti sendiri.

Kempen KTS tidak masuk akal

Sementara itu, ditanya pemberita mengenai tindakan Kelab Taat Suami (KTS) yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai ‘Tokoh Seks Suci Islam’ dalam kempen Maulidur Rasul mereka, Abdul Rani berkata,

“Saya minta Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mainkan peranan untuk memantau aktiviti kelab terbabit kerana kempen itu tidak masuk akal malah kerajaan negeri Selangor juga tidak bersetuju dengan kempen sedemikian.

“Ia tidak masuk akal, kita pandai-pandai meletakkan Rasulullah SAW sebagai imej sedemikian. Harap Mais dapat main peranan,” katanya.

Ketua Muslimat PAS negeri, Wan Hasrina Wan Hassan pula menyindir Hasan Ali dengan berkata dari sudut akidah ia memang sesuai bagi beliau (Hasan Ali) untuk menghentam KTS dan bukannya PAS.

MP: Hasan akan jadi 'budak suruhan' dalam 'kuasa ketiga'

Timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad berkata bekas ketuanya, Datuk Dr Hasan Ali hanya akan menjadi "budak suruhan" dalam Umno apabila berjinak-jinak dalam kem "kuasa ketiga" – kumpulan yang dikatakan akan meraih sokongan pengundi penentu dalam pilihan raya akan datang.

Sambil menyifatkan 'kuasa ketiga' itu sebagai hanya "rekaan romantis" untuk kepentingan BN, Khalid yang juga ahli parlimen Shah Alam berkata, ia hanya akan menjadi "pengacau" apabila calon dari kem Pakatan Rakyat berdepan dengan calon BN dalam pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hasan dalam satu program wawancara di TV3, Rabu lalu yang antara lainnya mengupas mengenai gerakan kuasa ketiga yang bakal disertai bekas exco Selangor itu.

Hasan dalam program tersebut juga berkata, beliau tidak merangka untuk bergerak ke peringkat bertanding dalam pilihan raya, namun usaha melalui gerakan kuasa ketiga itu telahpun dimulakan oleh "teman-teman" yang tidak dinyatakannya.

Hasan juga berkata jenama kuasa ketiga itu masih belum ditentukan, namun beliau akan bergabung dengan wakil rakyat bebas yang lain, dengan menawarkan manifesto bersama walaupun tidak mempunyai parti sendiri.

Mengulas kenyataan itu, Khalid berkata, beliau juga tertanya-tanya siapakah lagi yang masih menyokong ADUN Gombak Setia itu, terutamanya di dalam PAS.

"Kalau dia ramai teman-teman yang sokong dia, seharusnya dia dapat pencalonan untuk jadi calon di Gombak Setia,"
kata Khalid lagi.

Tambahnya, Hasan juga sebelum ini termasuk dalam senarai 'top five' dalam senarai 18 pemimpin tertinggi untuk bertanding dalam jawatankuasa PAS pusat.

"Dalam pemilihan tahun lepas, dia turun ke nombor dua tercorot. Kalau betul ramai sokong dia, kenapa perkara itu berlaku? Sepatutnya dialah yang dapat undi paling banyak," katanya lagi.

Dalam pemilihan parti pada 3 Jun itu, Hasan berjaya merebut keanggotaan dalam jawatankuasa pusat dengan kedudukan di tangga ke-16, dengan kemenangan tipis 437 undi.

Khalid juga mendakwa, Hasan bukan saja telah "mengelilingi diri dengan orang Umno" selepas Mac 2008, malah turut mengenepikan orang PAS yang banyak membantu beliau ketika kempen pilihan raya.

"Dia tidak manfaatkan (kerjasama) team PAS. Dia tidak ambil orang PAS untuk berada di keliling dia, tapi dia dikelilingi orang Umno, lebih-lebih lagi semenjak dia tak dilantik jadi menteri besar.

"Orang yang kerja keras semasa pilihan raya 2008, lepas menang tiada lagi (bersama Hasan). Itulah antara sebab dia tak dapat pencalonan (bertanding di Gombak Setia)," katanya yang turut menjangkakan Hasan tidak akan merayu pemecatannya daripada PAS.

Hasan masih berpeluang sehingga 8 Februari untuk berbuat demikian.

Khalid berkata, penyokong dalam PAS juga sebelum ini masih bersimpati dengan Hasan selepas penceramah motivasi itu dikenakan tindakan penggantungan.

"PAS pun tak mahu pecat dia sebab kita sayang ahli kita. Kita nak selamatkan dia biar dia terus bersama PAS.

"Nampaknya dia dah tak mahu bersama walaupun telah diberi penjelasan. Semuanya bermula apabila dia tidak lagi jadi pesuruhjaya. Sebelum ini tak timbul masalah tapi bila tak jadi pesuruhjaya dia tak boleh terima.

"Mulalah dia buat perangai pelik-pelik, kemudian barulah (PAS) terpaksa pecat dia," kata Khalid lagi.

Khalid dan Hasan pada Januari 2010 sama-sama didapati bersalah oleh jawatankuasa disiplin – Hasan diberi amaran manakala Khalid dikenakan tindakan penggantungan jawatan sebagai timbalan yang dipertua PAS Shah Alam, serta keanggotaan dalam biro politik untuk tempoh enam bulan.

Hasan digugurkan daripada jawatan pesuruhjaya PAS Selangor pada Jun tahun lalu. Ketika itu, Hasan merupakan exco hal ehwal Islam, adat-adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam Selangor.

Sementara itu, ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin (kiri) pula menjangkakan bahawa Hasan tidak akan dapat menarik ramai penyokong Pakatan dalam program jelajah dan ceramah yang akan dijalankannya.

Beliau juga yakin bahawa kuasa ketiga yang diuar-uarkan itu dibayangi pemimpin Umno, manakala gerakan itu pula diwujudkan untuk mendedahkan kelemahan dalam Pakatan.

Idea mengenai penubuhan kuasa ketiga itu kuat dikempen oleh media pro-BN, sebaik PAS bertindak memecat Hasan pada 8 Jan lalu – dengan mempromosi beberapa nama termasuk bekas ahli parlimen PKR, Datuk Zulkifli Noordin.

Hasan juga tampil dalam program wawancara di TV semenjak dipecat daripada PAS, seperti dalam siaran TV3 pada malam Rabu lalu.

"Rakyat telah matang untuk melihat pemimpin seperti ini kerana integriti dan kredibiliti mereka dipertikai," kata Shamsul ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, masyarakat di negeri ini telah mula mengetahui bahawa isu bersabit Hasan bersifat "peribadi dan dendam kesumat."

"Itu akan menyebabkan Hasan Ali sukar tarik sokongan yang signifikan. Apatah lagi apabila dia dikelilingi orang yang ada krisis kredibiliti (dalam gerakan kuasa ketiga).

"Saya tak nampak dia popular, kecuali beberapa media yang kita maklum cenderung untuk beri laluan kepada beliau. Kerap kali sidang media (Hasan) diberikan siaran utama sama ada oleh TV1 dan TV3," katanya.

Menurutnya lagi, Pakatan juga tidak bimbang dengan program jelajah yang akan dijalankan Hasan dan strategi itu juga diyakininya tidak akan menjejaskan penyokongnya, terutama daripada PAS.

"Dia akan pergi ke semua kawasan parlimen di Selangor dan pastinya bertujuan untuk melemahkan Pakatan. Tapi di Gombak sendiri yang didokong oleh pemimpin seperti Azmin Ali dan Saari Sungib, bukan laluan mudah untuk Hasan Ali," katanya.
-mk


PAS Selangor Dedah Punca Hasan Ali Lempar Tuduhan Liar



SHAH ALAM 27 JAN : PAS Selangor hari ini mendedahkan punca kemarahan Datuk Dr Hasan Ali terhadap parti Islam itu sehingga sanggup membuat tuduhan liar dan mempertikaikan dasar parti itu.

Puncanya ialah kehilangan jawatan dan kedudukan di dalam PAS Selangor, dedah Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor Hasbullah Mohd Ridzwan yang membacakan kenyataan media semasa sidang akhbar di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

"Kemarahan beliau(Hasan) terhadap PAS semakin melonjak apabila diketahui beliau tidak dicalonkan oleh PAS Gombak untuk kerusi Gombak Setia dalam PRU-13 walaupun dijelaskan keputusan itu bukan muktamad.

"Semenjak itu beliau mula mengambil sikap menyendiri dan mempertikaikan keseluruhan perjalanan PAS. Beliau mendakwa PAS tidak lagi dikuasai golongan ulama sedangkan amat jelas tindakan beliau sendiri melanggar nasihat dan arahan ulama di dalam PAS. Kalau ada yang membelakangkan ulama,ianya dirinya sendiri dan bukan PAS," kata Hasbullah.

Tambah Hasbulllah, kedudukan Ulama dan PAS terjamin dan diinstitusikan di dalam perlembagaannya melalui kewujudan Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama di mana kedudukan ini jauh lebih mulia dan terunggul berbanding Ulama di dalam Umno yang mana hanya disediakan Biro Agama yang setaraf dengan Biro Sukan.

"Dasar perjuangan PAS juga tidak berubah seperti terbukti dengan tiadanya apa-apa pindaan yang dibuat ke atas perlembagaannya. Adalah 'common sense' atau kefahaman asas bahawa sekiranya dasar sesebuah parti ingin ditukar,maka perlembagaannya perlu diubah," ujarnya.

Justeru, rakyat diseru tidak tertipu dengan kata-kata nista daripada Hasan yang diberi galakan dan sokongan dari Umno-BN atas sebab-sebab kepentingan politik mereka.

"Umum menyedari,dalam soal merosakkan seseorang individu tiada yang lebih hebat dari Umno,dalam kes Dr Hasan Ali adalah bukti akan kehebatan Umno dalam soal ini," ujarnya.

Sidang media itu turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungib dan Ketua Dewan Muslimat PAS Selangor Wan Hasrina Wan Hassan. -tvsnew

Thursday, January 13, 2011

Istana berkenan terima pemulangan pingat Khir Toyo

  

Dr Khir minta media gugur  gelaran.
Dr Khir minta media gugur gelaran.
SHAH ALAM: Dewan Diraja Selangor semalam berkenan menerima pemulangan pingat darjah kebesaran Selangor Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dr Mohamad Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, berkata beliau menghantar surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memulangkan sementara pingat berkenaan pada pertengahan bulan lalu.
“Surat ini dibuat berikutan kes saya didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam beberapa hari sebelumnya atas tuduhan salah guna kuasa.
“Pemulangan semula pingat ini bagi mengelak darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung,” katanya dalam blognya, semalam.

Berikutan itu, Dr Mohamad Khir meminta media serta penganjur program menggugurkan nama Datuk Seri daripada pangkal namanya, bermula semalam.

Dr Mohamad Khir sebelum ini didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Shamsuddin pula didakwa bersubahat dengan bekas Menteri Besar itu untuk melakukan kesalahan berkenaan di tempat dan masa sama.

Pada 6 Januari lalu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga minggu bermula 6 hingga 24 Jun ini.